Monday, September 14, 2009

Isu Zakat Diberi Kepada Bukan Islam

0 comments

Bolehkah zakat diberi kepada bukan Islam?

Assalamualaikum semua...salam ramadhan al-Mubarak. Berikutan isu wang zakat diberikan kepada bukan Islam kini menjadi perbualan ramai, disini saya petik info dari website zakat Selangor.

Dua tiga hari lalu, media massa melaporkan salah seorang ADUN kerajaan negeri membangkitkan isu agihan zakat kepada bukan Islam. Walau bagaimanapun, isu ini tidaklah mengheret LZS ke kancah konflik. Alhamdulillah.

Isu zakat kepada bukan Islam bukanlah perkara baharu. Ia sudah dibahaskan sejak dahulu lagi. Misalnya, asnaf muallaf dikatakan oleh ulamak, bukanlah sekadar terbatas kepada mereka yang baharu memeluk Islam. Bahkan muallaf juga merujuk kepada non-muslim yang ‘ada hati’ dengan Islam.

Begitu juga zakat fitrah, turut dibahaskan bahawa golongan fakir daripada kalangan bukan Islam juga layak menerimanya.

Namun, secara Jujur kita akur bahawa umumnya kefahaman zakat masih minima di kalangan umat Islam. Umumnya umat Islam merasakan, bahawa zakat adalah hak eksklusif umat Islam sahaja.

Kita tidak boleh menyalahkan majoriti umat Islam jika berpemikiran sebegini. Ini memandangkan, upaya pencerahan minda mengenai zakat memang sedikit susah.

Misalnya, suatu masa dahulu inisiatif mewajibkan zakat pendapatan telah melalui laluan yang agak payah. Wal hal terang-terang Yusuf Qardhawi menyatakan ia sudah dilaksanakan sejak zaman para sahabat lagi.


Di sini juga saya paparkan info dari laman e-fatwa buat tatapan kita umat Islam.

Kategori : Ibadat
Tajuk :
Hukum Memberi Zakat Kepada Orang Bukan Islam Bagi Tujuan Dakwah
Isu :

1. Persoalan mengenai perkara ini ditimbulkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada bulan September 2007 yang lalu. Muzakarah membincangkan isu ini untuk mendapatkan satu keputusan atau dasar tentang hukum memberikan wang zakat kepada orang bukan Islam bagi tujuan dakwah di bawah asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum.

2. Di Negeri Kelantan, program dakwah kepada orang bukan Islam khususnya dakwah kepada orang asli dilaksanakan oleh Unit Dakwah, Majlis Agama Islam Kelantan dengan menggunakan peruntukan wang zakat. Walau bagaimana pun sehingga sekarang tiada fatwa khusus yang memperincikan takrifan asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum, samada ia meliputi orang Islam sahaja atau ia merangkumi orang kafir.

Keputusan :
Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah
Ulama’ bersetuju memfatwakan seperti berikut :
1. Asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan Muslim dan golongan Kafir.

Golongan Muslim meliputi :
a. Orang yang baru memeluk Agama Islam.
b. Ketua-ketua kumpulan Islam yang mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya.
c. Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap imannya tetapi masih berpengaruh.

Golongan bukan muslim (kafir) pula meliputi :
a. Orang yang berkemungkinan menerima Islam.
b. Boleh dipujuk supaya tidak memusuhi orang Islam.

2. Dalam urusan agihan wang zakat kepada al-muallafatu Qulubuhum ini, secara umumnya Mesyuarat bersetuju dengan pendapat rajih dalam Mazhab Syafie yang mengharuskan wang zakat diagihkan kepada golongan Muslim
Sahaja.

3. Dalam konteks dakwah, khususnya dakwah kepada orang asli di Kelantan, mesyuarat bersetuju memfatwakan bahawa pengagihan wang zakat diharuskan kepada golongan bukan Muslim.
Fatwa ini dikhususkan untuk tujuan dakwah semata-mata kerana kepentingan siasah syar’iyyah untuk pengembangan Agama Islam.

Wallahu'alam

0 comments:

Post a Comment