Thursday, October 8, 2009

Syeikh Tantawi Haramkan Purdah Masuk ke Al-Azhar

0 comments
KAHERAH 6 Okt. - Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar.

Seorang pegawai keselamatan semalam berkata, polis telah menerima arahan secara lisan supaya menghalang pelajar perempuan yang berkelubung daripada memasuki institusi-institusi al-Azhar termasuk sekolah menengah dan tinggi, serta asrama beberapa universiti di Kaherah.

Pegawai itu berkata, pengharaman tersebut adalah atas sebab keselamatan.

Langkah itu dipercayai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membendung manifestasi Islam yang dianggap ultrakonservatif di Mesir.

Sungguhpun majoriti wanita Mesir memakai tudung, hanya segelintir yang memakai purdah atau dikenali di sini sebagai niqab yang menutup muka dan lebih kerap ditemui di Arab Saudi yang mengamalkan ajaran Wahhabi.

Kebanyakan ulama berpendapat purdah tidak wajib tetapi hanyalah adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi sebelum kedatangan Islam.

Rancangan Tantawi itu diumumkan semasa beliau menyuruh seorang pelajar sekolah menengah di sebuah kelas yang dikunjunginya awal minggu ini, supaya menanggalkan niqabnya.

Syeikh itu melawat sekolah-sekolah al-Azhar pada permulaan tahun akademik untuk memeriksa langkah yang diambil bagi membendung wabak selesema babi, menurut butir-butir lawatan yang disiarkan semalam oleh akhbar bebas, Al-Masry Al-Youm.

Tantawi dengan tegas memberitahu gadis berkenaan bahawa niqab 'tidak ada kena-mengena dengan Islam dan hanya satu adat resam' dan memaksanya menanggalkan niqabnya.

Beliau kemudian mengumumkan akan mengeluarkan arahan tidak lama lagi bagi mengharamkan pelajar perempuan yang memakai niqab daripada memasuki sekolah-sekolah al-Azhar.

"Niqab tidak ada kaitan dengan Islam...saya lebih arif tentang agama daripada kamu dan ibu bapa kamu," kata Tantawi kepada pelajar berkenaan.

Seorang sarjana di sebuah pusat penyelidikan al-Azhar, Abdel Moati Bayoumi berkata, para sarjana al-Azhar akan menyokong Tantawi jika beliau mengeluarkan arahan tersebut.

Bagaimanapun pengkritik langkah itu berkata, pengharaman niqab tidak akan dilaksanakan.

Arahan sebelum ini oleh Kementerian Wakaf untuk mengharamkan penceramah wanita yang memakai niqab daripada memasuki masjid dibantah keras.

Seorang penyelidik yang dihalang daripada memasuki perpustakaan Universiti Amerika di sini pada 2001 kerana memakai niqab membawa kesnya ke Mahkamah Agung Mesir dan akhirnya menang.

Mahkamah memutuskan pengharaman menyeluruh ke atas niqab menyalahi perlembagaan. - AP

sumber dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

0 comments:

Post a Comment