Sunday, February 28, 2010

Sambutan Maulidurrasul

0 comments
Setiap tahun kita meraikan sambutan ulangtahun kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Namun, persoalannya, adakah memadai dengan perarakan atau menyampaikan salam maulidurrasul sesama kita?

Kebanyakan masjid dan surau pasti menganjurkan ceramah atau diskusi berkaitan Maulidurrasul. Moga-moga kita dapat mengamalkan intipati ceramah dan diskusi itu dengan erti kata yang sebenarnya.

Saya tertarik dengan sebuah iklan TV3 bersempena Maulidurrasul kali ini. Iklan yang memaparkan sebuah keluarga yang menjamu selera bersama-sama. Ia menunjukkan beberapa sunnah nabi yang kelihatannya simple namun, tak ramai antara kita yang melazimkan diri dengan sunnah tersebut.

Antaranya ialah membaca doa sebelum makan atau minum, makan buah-buahan sebelum makan makanan lain, makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang dan sebagainya. Pada hemat saya, iklan sebegini sangat bagus kerana media telah memainkan peranannya dalam mendidik penonton agar mengikuti sunnah baginda. Seharusnya diteruskan bukan sekadar sunnah baginda ketika makan sahaja, malah banyak lagi sunnah yang boleh dipaparkan melalui media.

Namun, ada satu perkara yang membuatkan saya merasakan ada kecacatan yang agak 'besar' dalam iklan itu. Cuba anda fikirkan...


Berbalik kepada tajuk saya kali ini, sebenarnya saya ingin berkongsi dengan anda mengenai kisah seorang wanita bernama Natrah. Anda pasti pernah mendengar nama ini, bukan?

Alhamdulillah, bersempena sambutan Maulidurrasul tahun ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Pusat Dakwah Islamiah telah menganjurkan wacana menyoroti peristiwa Natrah; Matlamat ke arah Penyatuan Ummah.

Saya dan kawan-kawan telah menyertai program ini yang telah dijalankan di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi. Menariknya, pengarang buku Natrah iaitu Datin Fatini Yaacob telah hadir bagi mengupas kisah Natrah. Beliau telah mengkaji mengenai biografi Natrah ini sejak 20 tahun lalu. Kebanyakan yang hadir adalah mahasiswa IPT dan tidak kurang juga perwakilan dari pelbagai parti politik. USIM telah menghantar penyertaan yang paling ramai dalam program tersebut.

Dalam program itu juga, pihak UTM Press telah mengadakan jualan buku Natrah dan para hadirin boleh mendapatkannya dengan harga diskaun 10%. Saya turut membeli buku tersebut.
Ada banyak perkara yang boleh dijadikan iktibar kepada kita melalui kisah Natrah. Ianya turut menyelitkan unsur-unsur pengorbanan, kasih sayang, cintakan bangsa dan agama dan lain-lain.

"Rasulullah mencintai kita sebelum kita dilahirkan ke dunia, marilah kita bersama-sama membalas cintanya walaupun baginda tiada di depan mata"

0 comments:

Post a Comment