Wednesday, March 10, 2010

Cakna atau Buzy Body?

0 comments
Setiap antara kita ada peranan dan tanggungjawabnya tersendiri. Tidak kira sama ada sebagai seorang pemimpin masyarakat, guru, ketua kelas, presiden persatuan, ketua kampung mahupun sekadar AJK. Walau apa pun, yang pasti kita semua mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa. Di akhirat kelak, kita akan disoal tentang segala taklifan yang diamanahkan pada kita. Adakah kita telah melaksanakannya dengan baik ataupun sebaliknya.

Skop yang lebih dekat dengan kita ialah tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Mari kita soal diri kita; matlamat dan niat kita dalam mencari ilmu, hala tuju kita selepas tamat pengajian, sumbangan kita terhadap ummah dan sebagainya. Sebagai golongan terpelajar, kita sepatutnya memikirkan tentang soal ini dan mengambil tindakan sedari awal. Apatah lagi sebagai mahasiswa Islam. Ke manakah kita ingin curahkan ilmu yang kita perolehi setelah tamat nanti?

Mahasiswa bakal mengalami satu transformasi dalam hidupnya setelah memasuki alam kerjaya. Bersediakah kita? Dunianya yang selama ini hanya bergelumang sekitar skop kampus yang kecil akan bertukar secara total. Dalam hidup bermasyarakat kita juga mempunyai tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan. Sikap prihatin atau cakna terhadap permaslahan umat amat penting. Malah Islam turut menganjurkan kita agar prihatin serta mengambil berat mengenai saudara mara, jiran, rakan sekerja dan komuniti masing-masing.

Apabila kita mengambil berat tentang hal orang lain, perasaan kasih sayang akan terbentuk dalam masyarakat. Sebagai contoh; kita menganggap anak jiran umpama anak sendiri. Maka apabila hal itu terjadi, kita akan prihatin terhadapnya walaupun sekadar hubungan jiran tetangga. Seringkali orang salah tafsir mengenai hal ini. Apabila ada yang cakna tentang hal orang lain, mereka pula digelar buzy body atau suka jaga tepi kain orang. Mentaliti ini perlu diubah. Cakna terhadap masyarakat akan membendung penularan maksiat yang berlaku. Andai masing-masing membawa haluan sendiri, maka apa akan jadi pada masyarakat kita?

Jika ada yang berkata: "Hmm...biarlah budak tu nak buat apa pun. Nak pergi merempit ke...nak kacau anak dara orang ke...suka hatilah. Buat apa nak sibuk hal orang lain. Kubur lain-lain."
Apa perasaan anda jika ada yang berkata sedemikian?

Apabila masyarakat sudah saling tidak mengendahkan ahlinya, maka tidak mustahil masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang individualistik. Kuantiti golongan ini sebenarnya kian bertambah di negara kita.

Fikir-fikirkanlah.

0 comments:

Post a Comment