Friday, March 19, 2010

Adik-Adikku & Pidacil

0 comments
Pertandingan akhir rancangan Adik-Adikku anjuran JAKIM telah melabuhkan tirainya semalam bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur telah menyaksikan kejayaan Adik Muhammad Wajih Zakwan Hanif. Tahniah !

Rancangan Realiti TV Adik-Adikku merupakan sebuah rancangan realiti yang berkonsepkan hiburan dan pendidikan ini mengetengahkan bakat seramai 20 penda'ie kecil yang menunjukkan persembahan melalui pidato yang disusuli dengan tarannum, nasyid, bacaan surah dan sebagainya. Penda'ie kecil ini mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Murabbi yang terdiri daripada tokoh-tokoh agama yang terkenal di Malaysia iaitu Dr Redhuan Tee Abdullah, Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Zawawi Yusof, Ustaz Zamri Zainoldin dan Ustazah Asni Abu Mansor.

Ia merupakan rancangan realiti tv kanak – kanak dalam skop agama yang setanding dengan rancangan realiti sedia ada. Ia bertujuan membantu melahirkan karisma kepimpinan dan kebolehan kanak – kanak menjadi pemimpin masa hadapan. Beberapa sesi ujibakat telah diadakan di seluruh Malaysia bagi mencari 20 peserta yang berbakat dan antara kriteria yang dicari adalah bijak berpidato, bertarannum dan mengaji. Peserta-peserta dikumpulkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) selama 3 minggu dan wajib mengikuti pembelajaran dalam kelas serta aktiviti riadah seperti memanah dan berkuda sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil. Mudah-mudahan mereka bakal menjadi insan yang dapat memberi sumbangan pada agama kelak. Amin.

Alhamdulillah, para peserta yang terpilih memiliki bakat dan keunikan tersendiri. Kefasihan melontarkan pidato beserta gaya penyampaian yang hebat berjaya memukau para penonton. Program seumpama ini wajar diteruskan dan diikuti oleh penerbit-penerbit rancangan lain. Jika dilihat dari sudut yang lain, rancangan Adik-adikku ini hampir sama dengan rancangan realiti TV di Indonesia - Pidacil. Program Pidacil ini telah lama diadakan dan sudah masuk musim yang ke-5. Bagi sesiapa yang pernah menontonnya, anda pasti 'jatuh cinta' pada anugerah yang Allah kurniakan pada si cilik tersebut. Ada peserta yang mampu membuat penonton mengalirkan air mata. Masyaallah. Sejuk hati si ibu yang melahirkan anak-anak yang hebat begini.

Rancangan Adik-Adikku mampu memberi alternatif kepada ibu bapa yang mencari-cari satu bentuk tarbiyah hasanah yang dapat mendidik jiwa anak-anak mereka sambil berhibur. Ayuh, kita sama-sama menyokong usaha murni ini.

0 comments:

Post a Comment