Setiap hari kita akan membaca berita-berita dan rencana di surat khabar atau majalah.
Kita juga mendengar berita di radio atau menonton siaran berita di televisyen. Pelbagai berita dan peristiwa disiarkan dan dilaporkan kepada kita melalui media massa.
Siapakah yang melakukan tugas ini? Sudah tentu ia dilakukan oleh wartawan dan wartawan penyiaran untuk media elektronik. Tugas mereka ialah membuat liputan tentang peristiwa, kejadian, aktiviti dan sebarang kejadian yang boleh dijadikan bahan berita dan cerita untuk dilaporkan kepada pembaca, pendengar dan penonton.
Selain itu, kerjaya wartawan akan memberi peluang untuk bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat seperti tokoh pemimpin, ahli politik dan ahli perniagaan.
Seseorang yang bercita-cita menjadi wartawan perlu mempunyai kemahiran menulis, mampu menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik serta berbakat dan juga kreatif dalam menghasilkan idea. Seandainya wartawan memiliki penguasaan lebih daripada satu bahasa, ia merupakan bonus kepada dirinya.
Tanpa memiliki ciri-ciri ini agak sukar bagi seseorang itu bertugas sebagai wartawan kerana kerjaya ini memerlukan seseorang itu menulis dan mengarang berita dan rencana dengan baik dan difahami.
Mereka juga perlu menemu ramah sesiapa sahaja yang diperlukan sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Jika anda menguasai lebih dari dua bahasa, ia merupakan bonus buat anda.
Sebagai wartawan, setiap hari mereka akan diberi tugasan membuat liputan peristiwa atau menemuramah individu tertentu.
Kemahiran berkomunikasi dengan jelas dan berkesan sangat penting. Seorang wartawan juga perlu amanah dan telus dalam melaporkan sesuatu berita. Ini adalah tangggungjawab berat yang digalas oleh para wartawan.
Perkembangan pesat industri media cetak dan elektronik akibat perkembangan ekonomi negara pula telah membuka peluang yang banyak kepada kerjaya kewartawanan khususnya di sektor swasta.