Monday, September 14, 2009

Agungnya Kuasa Maha Pencipta

0 comments

Air Mata Darah


DARI kiri Twinkle Dwivedi, Rashida Khatoon dan Calvinno Inman.

Fenomena pelik remaja titis air mata darah

CALVINNO Inman, Twinkle Dwivedi dan Rashida Khatoon tidak mengenali satu sama lain, tetapi remaja dari India dan Amerika Syarikat ini berkongsi satu masalah penuh misteri yang membingungkan ramai iaitu mereka mengalirkan air mata darah.

Inman, dari Tennessee, menjadi ‘mangsa’ terbaru masalah misteri itu dan penderitaannya itu menjadi perhatian ramai selepas dilaporkan media antarabangsa, akhir bulan lalu.


Remaja lelaki berusia 15 tahun itu dikatakan tidak dapat mengawal mengalirkan air mata darah sehingga tiga kali sehari dan berlanjutan selama 15 minit sehingga sejam! Ketika ramai kagum dengan keadaan dirinya, tetapi tidak ramai yang menyedari masalah itu jelas mengganggu kehidupan Inman. Malah, beliau sering disindir rakan-rakannya yang melabelkannya sebagai kerasukan atau kesakitan setiap kali air mata darahnya mengalir.


“Kadang-kadang saya dapat rasakan ia keluar, sama seperti air mata. Saya berasakan mata saya berair. Kadang-kadang, mata saya terlalu sakit seolah-olah mahu tercabut,” katanya kepada stesen ABC News, baru-baru ini.

Ibu Inman, Tammy Mynatt, yang bimbang dengan keadaan itu berkata, beliau sudah membawa anaknya menjalani pemeriksaan MRI, imbasan CAT dan ultra bunyi serta mengadakan temujanji dengan pakar. Sayangnya, di negara maju seperti Amerika sekali pun, tiada seorang doktor yang dapat mengenal pasti punca keadaan Inman. Malah golongan pakar perubatan turut bingung dengan keadaan itu.


Mynatt menceritakan detik-detik bagaimana beliau menghubungi talian 911 apabila kali pertama anaknya menitiskan air mata darah itu.

“Perkara paling menakutkan dalam hidup saya ialah apabila beliau memandang dan bertanya, ‘Mak, apakah saya akan mati?’ Pertanyaan itu amat menusuk hati kerana sebagai ibu saya cuma mampu memerhatikan tanpa mampu berbuat apa-apa,” katanya. Pakar Oftalmologi, Dr Rex Hamilton, berkata remaja itu mungkin menderita keadaan yang digelar Haemolacria atau ringkasnya ‘air mata darah.’

“Ia cuma perkataan menggambarkan manifestasi air mata darah. Ia tidak menyebut apa-apa mengenai puncanya dan terjadi satu dalam sejuta orang,” katanya.

Tidak kurang pula yang mengaitkan masalah itu dengan kecacatan saluran air mata dan ketumbuhan dalam otak, biarpun ia kekal andaian kerana tiada sebarang bukti perubatan bagi menyokongnya.

Apa yang pasti, keadaan Inman menyamai penderitaan ditanggung Rashida Khatoon, remaja dari Patna, di timur laut India. Seperti juga di Amerika, pakar perubatan India juga tidak mempunyai sebarang jawapan di atas penderitaan gadis itu.

“Saya tidak berasa sakit apabila titisan air mata darah itu keluar. Tetapi tergamam juga melihatkan air mata darah yang mengalir dan bukannya tangisan biasa,” kata Rashida.

Jika Inman dituduh kerasukan, Rashida sebaliknya dipandang mulia penganut Hindu yang menganggap dirinya satu keramat. Mereka sanggup ke rumahnya untuk mendapatkan restu serta memberi hadiah kepada Rashida dan keluarganya.

Seorang lagi remaja India, Twinkle Dwivedi, 13, pula kehilangan darah menerusi kulitnya, termasuk mata tanpa mengalami luka atau calar.

Malah dia terpaksa menjalani pemindahan darah apabila ia keluar menerusi mata, hidung, garis rambut, leher dan tapak kaki. Ada kalanya, keadaannya teruk apabila bangun dengan keseluruhan tubuhnya diselaputi darah kering. Penderitaan Dwivedi sebaliknya dipandang serong oleh penduduk kampung yang percayakan beliau disumpah dan menjerit kata-kata menghina gadis itu.

Keluarganya yang bimbang sudah mendapatkan bantuan daripada ramai doktor selain pemimpin agama pelbagai agama tetapi menemui jalan buntu.

“Saya amat terdesak untuk membantu anak saya. Kami tidak percayakan perkara tahyul tetapi amat terdesak. Kami sudah ke kuil, masjid, gereja tetapi tiada apa dapat menyembuhkan anak saya,” kata ibunya, Nandani, 42. Pakar perubatan India kini percaya keadaan Dwivedi adalah versi teruk masalah platelet darah yang jarang berlaku dan tidak dapat mencari penawar.


Dr. Muhaya Mohamad

Di Malaysia juga tidak terkecuali digemparkan berita hampir sama kira-kira 24 tahun lalu apabila akhbar melaporkan kanak-kanak yang ketika itu berusia 10 tahun, Yogalingam, dari Perak, mengeluarkan benang daripada matanya.

Selama hampir dua minggu, gumpalan benang berterusan keluar menerusi matanya yang memaksanya ditahan di hospital lebih 10 hari. Kesengsaraan Yogalingam bermula dengan rasa gatal dan sakit pada matanya terutama di kelopak mata kanan. Ibunya, Letchumi, yang cemas dengan keadaan itu segera membawa Yogalingam ke hospital Ipoh. Doktor menemui gumpalan hitam pekat di kelopak mata Yogalingam dan apabila ia dikeluarkan hasilnya amat membingungkan doktor kerana ia adalah seutas benang.

Menurut doktor yang merawatnya, lebih 80 gumpal benang ditarik daripada mata kanan kanak-kanak berkenaan dan panjangnya mencecah enam hingga lapan sentimeter. Ia terus menjadi misteri apabila kajian di Makmal Direktorat Kimia Jabatan Kesihatan Malaysia, mengesahkan benang asli itu daripada serat kapas.

Tidak kurang menariknya kejadian aneh pada 2007 mengenai kemampuan gadis Melaka, Siti Suhana Saadon, mengeluarkan beratus-ratus bebola kecil berbentuk kristal dan permata pelbagai warna menerusi ibu jari kirinya. Sekumpulan pakar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melakukan kajian, mengesyaki bebola kecil warna jernih seperti kristal, guli dan hirisan kaca yang keluar daripada ibu jari kaki kiri gadis berkenaan hasil tindak balas enzim dan toksik dalam tubuhnya.

Namakan ia apa saja - misteri, aneh atau pelik tetapi bagi umat Islam, keadaan itu tidak sepatutnya menghairankan sebaliknya menjadi sumber kekaguman kepada kebesaran kuasa Allah.

'Fenomena aneh tak dapat diterokai akal'

APAKAH mungkin kejadian air mata darah itu dibuat-buat? Atau mungkinkah ini disebabkan virus tertentu yang menyebabkan pendarahan berlaku?

Namun, bagi Pengerusi Persatuan Oftamologikal Malaysia, Prof Dr Muhaya Mohamad, beliau bersetuju dengan pandangan pakar antarabangsa yang kejadian tangisan darah ini sememangnya satu misteri perubatan yang belum terungkai lagi, biarpun dunia menyaksikan pelbagai perkembangan teknologi perubatan serba canggih.

Ini kerana hakikatnya, biar cerdik mana dan pencapaian manusia, masih ada bidang yang belum dapat diterokai kemampuan akal dan tinggal fenomena aneh yang tiada jawapannya.

“Secara jujurnya, saya katakan keadaan itu adalah satu misteri kerana saya tidak pernah berdepan perkara itu sepanjang 18 tahun menjadi pakar mata. Saya memandangnya sebagai tanda kebesaran Allah SWT.

“Manusia, walaupun berkelayakan sebagai doktor tidak dapat menandingi kuasa Allah SWT. Ilmu kita amat terbatas sedangkan kuasa-Nya tidak terhad.”

Ditanya sama ada dia sendiri pernah berdepan pengalaman merawat pesakit menghidap masalah misteri ini, Dr Muhaya berkata, jika ada pun, ia membabitkan virus sakit mata.

“Kes pernah dikendalikan membabitkan air mata berwarna agak merah jambu yang disebabkan virus sakit mata. Simptomnya membabitkan mata bengkak dan membran yang apabila dibuang menyebabkan warna air mata berubah.

“Tetapi belum pernah saya berdepan dengan pesakit mengalirkan air mata darah. Jika pesakit menghadapi masalah platelet darah kurang sekalipun, pendarahan berlaku pada retina dan dia tidak akan mengalirkan air mata darah,” katanya.

Justeru, Dr Muhaya berkata, kejadian air mata darah itu sememangnya satu misteri.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk memberi penjelasan mengenai kes ini. Ia satu misteri bagi saya tetapi kita tidak boleh terus mengatakan ia dibuat-buat kerana keadaan itu mungkin satu petunjuk Allah SWT.

“Sekali lagi saya tegaskan kita manusia jangan sombong kerana pengetahuan kita amat terhad. Perkara seperti ini pun sudah cukup membingungkan kita,” katanya.

Artikel dipetik dari bharian online 14 september 2009.

p/s : Subhanallah, Allah Maha Berkuasa...

0 comments:

Post a Comment