| |||||
SUKAINA al-Zayer tidak mungkin berpeluang menang sebarang pertandingan ratu cantik kerana dia memakai purdah dan abaya yang tidak membolehkan orang menilai kecantikan wajahnya. Dia juga mengaku bertubuh gempal.
Tetapi dalam satu-satunya pertandingan ratu cantik di Arab Saudi, hakim tidak mempedulikan bentuk tubuh atau kecantikan wajah. Apa yang mereka cari dalam pertandingan itu ialah 'Ratu Cantik Akhlak' di kalangan peserta yang berjaya menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat terhadap ibu bapa masing-masing.
"Matlamat peraduan itu ialah untuk mengukur komitmen peserta terhadap moral seperti yang dikehendaki Islam. Ia alternatif kepada ratu cantik lain yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya mengambil kira bentuk tubuh dan wajah wanita," kata pengasas peraduan itu, Khadra al-Mubarak.
Yang menang tidak semestinya cantik. Bagi kami, yang penting ialah kemurnian hati dan moral," katanya. Selepas pertandingan itu dirasmikan Sabtu lalu, hampir 200 peserta akan menghabiskan masa 10 minggu menghadiri kelas dan diuji dengan tema termasuk 'Menyedari kekuatan dalaman anda,' 'Pembentukan menjadi pemimpin' dan 'Ibu, syurga di bawah tapak kakimu.'
Tema terakhir itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW bagi menggariskan peri pentingnya rasa hormat kepada ibu bapa, antara tunggak utama dalam ajaran Islam. Peserta juga akan menghabiskan masa sehari di sebuah rumah di luar bandar bersama ibu masing-masing. Di sana mereka akan diawasi oleh hakim wanita dan diberi markah mengenai cara mereka berinteraksi dengan ibu mereka," kata Khadra.
Memandangkan pertandingan itu tidak akan disiarkan menerusi televisyen dan tidak membabitkan lelaki, peserta boleh menanggalkan purdah dan abaya mereka. Ratu Cantik Akhlak itu adalah contoh terbaru yang diubah suai oleh masyarakat Islam daripada format gaya barat yang bertujuan menyebarkan mesej dalam menangani pengaruh budaya kuning yang semakin merebak di rantau itu menerusi Internet dan televisyen satelit.
Satu rangkaian muzik Islam diwujudkan oleh seorang peniaga Mesir baru-baru ini bagi menyiarkan pertandingan ala 'American Idol' untuk penyanyi yang menyanyikan lagu berkonsepkan agama. Beberapa pendakwah juga sudah menjadi selebriti rancangan sembang ala rancangan yang dikendalikan Oprah, bertentangan dengan tradisi selama ini.
Kini, pada tahun keduanya, peserta pertandingan Ratu Cantik Akhlak itu meningkat tiga kali ganda daripada 75 wanita yang menyertainya pada 2008. Pertandingan itu dibuka kepada wanita berusia antara 15 dan 25 tahun dan pemenangnya akan diumumkan Julai depan. Juara akan menerima hadiah RM10,000 sementara tempat kedua dan ketiga RM5,000 setiap seorang.
Pemenang tahun lalu, Zahra al-Shurafa berkata, pertandingan itu mendorong wanita muda dan remaja meningkatkan rasa hormat mereka kepada ibu bapa.
"Saya memberitahu mereka, menang bukan menjadi keutamaan. Apa yang penting ialah menghormati ibu bapa anda," kata Zahra, pelajar universiti yang mengambil jurusan Bahasa Inggeris.
Pertandingan ratu cantik memang diadakan di beberapa negara Arab dengan yang paling terbuka ialah di Lubnan, negara paling liberal di rantau itu dengan peserta muncul di televisyen berpakaian bikini, gaun malam yang glamor dan menjawab soalan yang menguji keyakinan serta pengetahuan am mereka.
Di Arab Saudi, pertandingan seumpama itu tidak wujud, malah diharamkan. Sebelum dimulakan Ratu Cantik Akhlak tahun lalu, pertandingan ratu cantik yang diadakan di negara itu hanyalah untuk kambing, biri-biri, unta dan haiwan lain, bertujuan menggalakan ternakan binatang di kalangan rakyat negara itu.
Acara tahun ini dimulakan Sabtu lepas di bandar Safwa yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah. Sebahagian besar peserta juga berfahaman Syiah.
Bagaimanapun, ia terbuka kepada sesiapa dan tahun ini, 15 wanita berfahaman Sunni menyertainya, kata Khadra.
Sukaina, 24, pelajar Pengurusan Antarabangsa, berkata, dia menyertai pertandingan itu kerana kasih sayangnya terhadap ibunya.
"Saya berbangga kerana menghormati ibu bapa saya," katanya.
Mengenai ratu cantik seperti yang diadakan di Lubnan?
"Ia masalah perbezaan budaya. Pertandingan yang diadakan di Arab Saudi diterima oleh Islam," katanya.
Seorang lagi peserta, Awsaf al-Mislim,berkata, jika tidak menang pertandingan itu, dia tetap yakin mencapai sesuatu yang lebih penting.
"Saya berbangga untuk menunjukkan kepada umum bahawa saya bersaing dengan peserta lain kerana kasih sayang kepada ibu bapa saya," kata peserta berusia 24 tahun itu.
Dipetik dari website hmetro online.
p/s : bagus juga diadakan pertandingan2 sebegini..sekurang2nya dapat menarik minat orang ramai tak kira samada muslim ataupun bukan. Islam tidak menghalang kita untuk berhibur tapi, ada batasan2 tertentu yg perlu dijaga...=)
"Muslimah solehah umpama sebutir mutiara yang tersembunyi di dasar lautan...hanya pemuda soleh yang mampu memilikinya"
0 comments:
Post a Comment